MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu sukan negara untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Hannah menegaskan SUKMA perlu menjadi platform penting untuk menyediakan atlet-atlet untuk beraksi di persada sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik.
Dia berkata demikian ketika ucaptamanya semasa majlis Pembukaan Rasmi Sukan Malaysia XXI di Stadium Sarawak yang dihadiri 40,000 penonton pada Sabtu.
“Seorang atlet Olimpik tidak muncul begitu sahaja. Prestasi seorang atlet adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.
“Bakat yang kita asah di peringkat daerah, di peringkat negeri seperti SUKMA inilah bakat yang menjadi harapan negara di temasya sukan antarabangsa. Atlet kita di sini, adalah bakal atlet kita di Olimpik kelak,” katanya.
Hannah juga turut menyatakan bahawa Sarawak sebagai tuan rumah adalah model lokasi terbaik untuk merealisasikan semangat perpaduan dalam negara ini.
“Premier pernah berkata kepada saya, cara terbaik untuk mewujudkan golongan muda yang mempunyai pemikiran global adalah untuk mendedahkan mereka kepada seberapa banyak perspektif.
“Apabila saya melihat keliling stadium ini, saya merasakan bahawa ini adalah Malaysia. Atlet muda dari seluruh pelosok negara dihimpunkan satu tempat,” jelasnya.
SUKMA 2024 bermula secara rasminya dari 17 hingga 24 Ogos ini yang akan dianjurkan di sembilan kluster di seluruh Sarawak membabitkan 488 acara dari 37 jenis sukan.