SEBANYAK 488 acara untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI Sarawak 2024 telah ditawarkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia. Temasya itu dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 nanti.

Acara yang dipertandingkan telah dibahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan. Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada Selasa.

Hannah Yeoh umumkan jumlah acara Sukma Sarawak pada Selasa.

Setiap acara yang perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6) bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.

Penganjur juga telah mengenalpasti lima Perkampungan Sukan utama bagi menempatkan atlet-atlet daripada 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri.

Jawatankuasa Tertinggi SUKMA menetapkan sebanyak 488 acara akan dipertandingkan.

Sementara itu, beberapa isu lain juga diputuskan oleh Jawatankuasa Sukma pada mesyuarat tersebut seperti sebanyak 108 pertindihan pendaftaran atlet telah diselesaikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sekretariat Sukma XXI Sarawak 2024 menerusi persetujuan bersama di antara Kontinjen Negeri yang terlibat.

Sekretariat Sarawak juga telah menetapkan Detik 100 Hari menjelang Sukma XXI Sarawak 2024 yang dilangsungkan pada 9 Mei 2024 dan bakal disempurnakan oleh YAB Premier Sarawak.