MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan menjadi ‘tukang pujuk’ Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk kembali mengendalikan sukan itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024, di Sarawak.
MOM sudah diminta meneliti perkara terbabit selepas PABM menarik diri daripada mengendali penganjuran sukan itu di Sukma tahun lalu, selepas bercanggah pendapat dengan penganjur susulan skandal doping yang berlaku,
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata , pihaknya sudah meminta MOM menguruskannya, selepas satu mesyuarat di Putrajaya pada Isnin.
“Perkara ini kita ada bincang (dalam mesyuarat hari ini). Kita sudah minta MOM melihat perkara ini kerana kebimbangan disuarakan beberapa negeri,” kata Hannah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di pejabatnya di Putrajaya, Isnin.
Pada Sukma yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) tahun lalu, PABM menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat susulan tiga atlet iaitu dua dari Terengganu dan seorang Perlis gagal dalam ujian anti doping sebelum temasya bermula.
Sebagai badan induk sukan yang sudah muak dengan insiden doping berulang, PABM ketika itu bertegas tidak membenarkan kedua-dua negeri berkenaan bertanding di Sukma namun MSN selaku penganjur memutuskan sebaliknya sekali gus membuatkan badan induk itu menarik diri daripada mengendalikan sukan berkenaan di temasya berkenaan.
Tindakan itu sekali gus menyaksikan segala pencapaian termasuk rekod kebangsaan yang dicipta pada temasya itu tidak diiktiraf kerana tidak mendapat ‘restu’ PABM selaku badan induk sukan kebangsaan.
Justeru, pertandingan angkat berat pada waktu itu diambil alih sepenuhnya oleh pegawai yang dilantik oleh sekretariat Sukma di bawah MSN.
Sementara itu, Hannah memberitahu Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju untuk menyenaraikan lima jenis sukan iaitu softball, kriket, catur, kabadi dan silambam untuk dipertandingkan pada di temasya itu tahun depan.
Bagaimanpun Hannah berkata, lima sukan berkenaan perlu mempunyai penyertaan enam negeri sebelum ia dibenarkan dipertandingkan di Sarawak.
“Faktor pertimbangan itu dibuat kerana sukan tersebut mempunyai Kejohanan Remaja Kebangsaan dan paling penting Sarawak selaku penganjur Sukma 2024 dan MSN sebagai penganjur Sukma 2026 telah bersetuju memasukan lima sukan ini supaya ada kesinambungan dan perancangan.
“Jadi, persatuan sukan semua perlu ada peranan masing-masing agar sukan tersebut popular sebelum negeri itu bersetuju untuk menghantar penyertaaan,” katanya.