TIGA terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024, menjadi sasaran Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata, sasaran itu diletakkan berdasarkan prestasi semasa atlet selain persiapan yang dilakukan bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu.
Katanya, bagi mencapai sasaran di Sukma, kontinjen Wilayah Persekutuan yang lebih dikenali sebagai WiPers perlu memenangi 50 hingga 60 pingat emas dalam 37 jenis sukan disertai.
“Persiapan setakat ini berada pada landasan terbaik dan dari segi sasaran, kita ada dua iaitu daripada pihak persatuan dan kami sendiri, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan. Untuk selamat, mungkin 20 hingga 60 pingat emas.
“Berdasarkan kenyataan YB Menteri Wilayah Persekutuan, sasaran yang diletakkan adalah kedudukan lima teratas. Kalau ada rezeki, kita akan cuba untuk dapatkan kelompok tiga teratas,” katanya, kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kejohanan Tertutup Kuala Lumpur di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menjangka WiPers bakal menghantar seramai 650 hingga 700 atlet sebaik sahaja pihaknya menyenarai pendek atlet daripada senarai awal 1000 atlet yang didaftarkan ketika ini.
“Kita mungkin hantar 650 hingga 700 atlet termasuk mereka yang pergi di bawah tanggungan sendiri. Kita sudah daftar 1000 lebih setakat ini tetapi akan disenarai pendek pada Julai nanti.
“Kita mendaftar atlet untuk kesemua 37 jenis sukan, cuma ada juga acara yang kita hantar lelaki sahaja kerana beberapa sebab. Mungkin tiada atlet dan kita tidak mencapai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) ditetapkan,” ujarnya.
Sebagai rekod, pada Sukma 2022 lalu, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di kedudukan ketiga selepas mengutip 187 pingat keseluruhan termasuk 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa.