PENGENDALI Skuad Futsal Pahang Rangers FC, Gerrard Casas tidak mahu menganggap kelebihan lima gol sebagai bekalan selesa buat pasukannya kerana di dalam futsal segalanya boleh terjadi dalam masa yang cukup singkat.
Dia juga mahu para pemainnya turun dengan mentaliti kemenangan apabila berhadapan Shah Alam City FC pada aksi suku akhir kedua Liga Premier Futsal Kebangsaan MPFL di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.
“Kemenangan 6-1 adalah keputusan yang baik tetapi dalam futsal, kelebihan lima gol masih belum selamat. Banyak kali saya lihat perkara seperti ini berlaku apabila kelebihan itu hilang sekelip mata. Kami tidak boleh merasa selesa serta perlu bekerja keras dan pergi ke sana dengan mentaliti yang tepat.
“Meskipun mendahului secara agregat, namun kami tidak akan menukar cara permainan kami. Saya sudah beritahu pada pemain untuk terapkan mentaliti untuk menang sejak dari awal perlawanan kerana itu adalah kami dan jika kami cuba ubah perkara itu, ianya adalah satu kesilapan dan kami mahu mencari kemenangan,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Gerrard juga mahu pemainnya berhati-hati dan menghalang Shah Alam City dari mendapat gol awal selain kekal fokus kerana dia menjangkakan pasukan lawan akan menyerang selain mempunyai pemain yang berbahaya.
“Saya jangka Shah Alam akan bermula dengan pantas untuk mencari gol awal dan kami akan cuba pastikan perkara itu tidak berlaku dan atas sebab itu kami mahu turun untuk mencari kemenangan dan bukannya bertahan kerana mereka mempunyai pemain yang berbahaya,” katanya lagi.
Pahang Rangers selaku juara Kumpulan A berhadapan pasukan tempat keempat Kumpulan B, Shah Alam City dan bakal ke separuh akhir jika mampu menyekat kebangkitan lawan di Shah Alam.
Menunggu pemenang di peringkat separuh akhir adalah antara Selangor MAC dan Terengganu yang juga bakal menyaksikan satu aksi yang berkualiti dari kedua-dua pasukan.