PENGENDALI skuad futsal Selangor TOT FC, Patt Sriwijit memuji semangat juang para pemainnya yang berjaya membawa pulang kelebihan satu gol dari Pulau Pinang menjelang aksi suku akhir kedua Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.
Dalam aksi suku akhir pertama di Pulau Pinang, Selangor TOT berjaya meraih kemenangan tipis 2-1 dan kini mahu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mencatat kemenangan seterusnya layak ke separuh akhir.
“Saya memuji aksi yang ditunjukkan para pemain pada aksi di tempat lawan. Sekarang kami masih ada misi yang belum selesai dan kami berlatih lebih keras untuk aksi suku akhir kedua.
“Pulau Pinang adalah pasukan yang baik dan jika kami mahu layak ke separuh akhir kami perlu kurangkan kesilapan dan terus fokus dalam perlawanan di hadapan penyokong sendiri,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Selangor TOT yang dibarisi gabungan pemain berpengalaman dan baru berjaya layak ke suku akhir selepas mengakhiri peringkat Kumpulan B di tangga ketiga dan bertemu Pulau Pinang yang menduduki tangga kedua Kumpulan A.
Ketika aksi peringkat kumpulan, Selangor TOT berjaya mengejutkan pendatang baharu, Johor Darul Ta’zim dengan meraih kemenangan di laman sendiri sekaligus menjadi pasukan tunggal yang berjaya melakukannya setakat ini.
Dua jaringan dari Wan Raziq Wan Zulhasmi dan Ahmad Azim Mohamad dalam masa dua minit di babak kedua sudah cukup memberikan kelebihan aggregat kepada TOT dan aksi pada Sabtu ini dijangka cukup sengit dengan JDT sudah sebelah kaki menunggu di separuh akhir.