EMPAT perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di empat venue berbeza mencatatkan angka kehadiran yang menggalakkan dengan magis kejohanan tertua di Asia itu kembali dimeriahkan para penyokong di stadium.

Lapan kelab tradisi dengan penyokong yang ramai membantu angka kehadiran penyokong dengan aksi Terengganu dan Selangor mencatatkan kehadiran tertinggi berbanding tiga lagi perlawanan yang turut mendapat sambutan menggalakkan.

Terengganu FC yang sedang dalam prestasi terbaik ketika ini kembali mendapat perhatian penyokong dengan 13,118 orang yang hadir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum aksi timbal balik yang panas di Stadium MBPJ menyaksikan 10,743 penyokong menjadi saksi Terengganu layak ke separuh akhir.

Kejayaan Perak FC layak ke separuh akhir selepas mengejutkan Sabah FC menerusi aggregat 3-2 pula mencatatkan kehadiran sebanyak 6,216 orang ketika beraksi di Stadium Likas dan 14,852 penyokong hadir di Stadium Perak bagi meraikan kejutan yang dilakukan pasukan bimbingan Yusri Che Lah.

Aksi antara Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pula berjaya meraih perhatian 5,960 penyokong ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebelum 10,561 penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menyaksikan gol ke-100 Bergson Da Silva sejak menyertai JDT yang membantu Harimau Selatan ke separuh akhir sekali lagi.

Dua pasukan dengan taktikal bertahan yang baik, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC mencatatkan angka terendah dari tiga perlawanan lain dengan hanya 1,697 penyokong yang hadir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras manakala 4,041 hadir di Stadium Darulmakmur, Kuantan yang bermain pada sebelah petang di dalam hujan lebat.

Secara keseluruhan, 67,188 penyokong hadir ke stadium dalam dua perlawanan Piala Malaysia yang mencatatkan purata sebanyak 16,797 orang penyokong hadir untuk memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding.

Aksi separuh akhir yang menemukan Perak FC dan JDT serta Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC dijangka akan dihadiri lebih ramai penyokong yang sudah pasti teruja mahu memastikan pasukan pilihan masing-masing layak ke final Piala Malaysia yang dijadualkan pada Disember.

Dalam pada Piala Malaysia kembali meriah dengan penyokong, sebaliknya berlaku buat pertandingan Challenge Cup yang hanya dihadiri 1,546 orang penyokong dalam empat perlawanan dengan purata kehadiran hanyalah 387 penyokong di empat venue berbeza.