SAINGAN suku akhir pertama Piala FA 2024-25 bakal berlangsung pada Jumaat dan Sabtu dengan dua pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC masing-masing dilihat tidak mempunyai masalah untuk menakluk pesaing.
Juara bertahan, JDT dijangka akan mencipta sejarah baharu kejohanan dengan rekod jaringan terbesar apabila bertemu kelab amatur dari Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University di Stadium Sultan Ibrahim yang mempunyai jurang kualiti yang cukup besar.
Bermain sebagai pasukan pelawat di gelanggang sendiri, Harimau Selatan dijangka akan menurunkan barisan terbaik bagi memastikan kesemua pemain utamanya berada dalam keadaan terbaik kerana cuti rehat liga yang agak panjang.
Buat pasukan Malaysian University yang mengejutkan PDRM FC di peringkat 16, ini adalah peluang buat para pemain yang diterajui pelajar-pelajar universiti ini untuk bersaing dengan nama-nama besar dalam Liga Malaysia sekali gus akan menjadi medan mereka membentuk pengalaman.
Dalam aksi di Stadium Negeri, Kuching pula, Selangor FC yang pertama kali beraksi di luar Kelana Jaya musim ini juga dijangka tidak berhadapan masalah besar untuk menyekat kemaraan Kuching City FC yang mengejutkan finalis 2023, Kuala Lumpur City FC untuk layak ke suku akhir.
Meskipun dibelenggu pelbagai masalah di luar padang termasuk hukuman dari pengelola liga, ianya dilihat tidak akan melemahkan semangat para pemain dan berdasarkan prestasi semasa, Gergasi Merah akan keluar sebagai pemenang.
Perlawanan derbi utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC sekali lagi mencuri tumpuan selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super minggu lalu dan pertemuan kali ini sudah pasti menghadirkan skrip yang berbeza.
Harimau Kumbang masih mencari kemenangan pertama dalam 90 minit musim ini dan pengendalinya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sudah pasti mempunyai ramuan terbaik untuk mengelak tewas buat kali kedua kepada Kedah dalam tempoh tujuh hari.
Ulangan keputusan 1-0 minggu lalu sudah pasti menjadi keinginan Nafuzi Zain yang masih bergelut mencari kombinasi terbaik buat Sang Kenari dan tentunya juga dia tidak mahu terkeluar awal dari saingan seperti yang berlaku pada musim lalu.
Pertembungan ‘blockbuster‘ di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu pastinya ditunggu-tunggu oleh para penyokong apabila Terengganu FC melayan kunjungan Sabah FC yang dilaporkan masih dibelenggu masalah gaji.
Namun isu luar padang dijangka tidak akan menjejaskan fokus anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee kerana Sabah adalah sebuah pasukan yang lengkap di setiap bahagian dengan diterajui banyak pemain kebangsaan dari Malaysia dan Indonesia.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner juga pasti mahu melupakan keputusan seri di Kuching minggu lalu dan mahukan para pemainnya mengambil kesempatan perlawanan pertama ini untuk mencipta kemenangan selesa di hadapan penyokong sendiri.