AKSI suku akhir Piala FA di antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC yang bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu pastinya menjanjikan saingan sengit berdasar prestasi semasa kedua-dua pasukan dalam Liga Super.
Negeri Sembilan FC di bawah kendalian K. Devan kini merekodkan tanpa kalah dalam tiga perlawanan meskipun gagal menurunkan barisan terbaik ekoran kecederaan dan kekurangan pemain import. Ia menggambarkan peluang terbaik buat Skuad Jang untuk layak ke peringkat separuh akhir seterusnya untuk merebut tiket ke peringkat Asia.
Namun jangan lupa, Selangor FC juga dalam momentum terbaik apabila berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam liga dan anak-anak buah Tan Cheng Hoe sudah pasti mahu menggunakan pertandingan Piala FA ini sebagai medan untuk kembali menjulang piala sekaligus layak ke Asia seperti yang didambakan penyokong setia The Red Giants.
Perlawanan seterusnya, suku akhir Piala FA menentang Selangor FC.
Perlawanan akan berlangsung di STAR, Paroi pada Sabtu ini.
Sepak mula perlawanan pada jam 8.15 malam.
Tiket akan mula dijual secara fizikal dan atas talian bermula esok.#NSESEL#NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/LD1lQpQPnV
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) May 24, 2023
Jelas Devan, adalah satu keadaan yang berbeza apabila beraksi dalam pertandingan kalah mati dan pemainnya juga sedar mereka perlu mengurangkan kesilapan jika mahu berpeluang layak ke peringkat separuh akhir.
“Kita tahu Piala FA berbeza. Jika menang kita akan ke separuh akhir dan ini menimbulkan suasana yang lain. Kami bersedia menentang Selangor dan pemain juga sedar ini peluang untuk mara ke semi final dan akan lakukan yang terbaik.
“Selangor adalah lawan yang kuat dengan organisasi yang lebih baik. Peringkat kalah mati akan berikan suasana berlainan. Kita boleh beri saingan bila bermain di laman sendiri tetapi kami perlu kurangkan kesilapan.
“Kami juga perlu bertahan dengan baik dan menjaringkan gol jika mahu ke separuh akhir dan saya jangkakan kami dapat turunkan kesebelasan terbaik,” kongsi Devan.
Sementara itu Cheng Hoe memberitahu, dia akan menggunakan taktikal yang berlainan kerana Piala FA adalah perlawanan kalah mati dan berharap para pemainnya cepat menjalani pemulihan untuk berhadapan tugas sukar di tempat lawan.
“Piala FA adalah satu perlawanan kalah mati. Kita kena hadapi dengan taktikal berbeza dan bersedia bermain di tempat lawan kerana dalam pertandingan ini siapa-siapa pun boleh kalahkan mana-mana pasukan.
“Para pemain juga perlu bersedia kerana mereka keletihan beraksi dalam dua perlawanan liga. Pemain perlu tahu tanggungjawab dan tugas kepada kelab dan saya berharap mereka dapat kekalkan tahap kecergasan,” ujarnya.
Sebagai rekod, pertemuan dalam Liga Super sebelum ini memihak kepada Selangor FC 2-1 apabila jaringan minit akhir Shahrul Nazeem memberikan tiga mata penuh untuk Red Giants ketika aksi di StadiumMBPJ, Kelana Jaya.
Kali terakhir Negeri Sembilan bertemu Selangor dalam Piala FA adalah pada 2017 dan Skuad Jang berjaya menewaskan Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.