TERENGGANU FC yang masih segar dengan dua keputusan positif dalam Liga Super dijangka tidak berdepan masalah untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala FA apabila turun menentang Kelantan FC pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu Sabtu ini.
Pasukan Kelantan FC yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah di dalam mahupun luar padang dilihat sebagai ‘gangguan’ untuk mereka beraksi lebih baik.
Namun begitu pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner tidak memandang rendah keupayaan lawan dan mahu anak-anak buahnya untuk kekal fokus sewal wisel permulaan dan mencari gol pembukaan.
“Semua orang menjangkakan kami akan memenangi perlawanan ini kerana dalam aksi Liga Super sebelum ini kami menewaskan Kelantan 5-0 dan mereka juga melepaskan begitu banyak gol dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
“Tetapi apa yang penting adalah untuk menjaringkan gol pertama dan fokus sejak dari awal perlawanan dan saya jangkakan kami sudah bersedia untuk perlawanan bertemu Kelantan.
Sementara itu pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt pula hanya memikirkan satu cara sahaja untuk menyekat Terengganu daripada meraih kemenangan.
“Untuk bertemu Terengganu kami perlu bermain lebih defensif dan cuba menggunakan serangan balas kerana itu adalah cara terbaik untuk menyekat mereka ketika ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Steinbruckner pemainnya cepat menyesuaikan diri bermain dalam cuaca panas kerana tidak ada apa yang mampu dilakukan dan ianya juga sama buat pasukan lawan.
“Bermain pada jam 5 petang bukanlah waktu yang ideal tetapi kami perlu menghadapinya dan begitu juga buat pasukan Kelantan,” tambahnya.