SEBAGAI orang lama bergelumang dalam industri bola sepak, Sulaiman Hussin tampil memberikan nasihat kepada Faisal Halim berkenaan ‘cara’ pemain itu yang terus dilanda kontroversi bersama bekas majikannya, Terengganu FC.

Penolong jurulatih Kuching City FC itu menasihatkan Faisal yang dikenali Mickey supaya lebih tenang dan bersabar dalam menangani isu hangat yang ditimbulkan di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Nasihat saya mudah untuk Faisal Halim. Dia kalau betul-betul ada masalah jangan luah di media sosial.

“Dia pergi jumpa ataupun kalau dia ada ejen jumpa apa yang dia tak puas hati jika tak boleh selesaikan ada persatuan pemain.

“Pergilah mengadu kat persatuan pemain, jadi jangan terlalu kita rasa macam kita ni konon orang puja kita dah lupa asal usul.

“Kita kena hormati juga bekas kelab menaikkan nama kita, buruk baik kelab ini berjasa pada kita. Jangan kita ingat kita jer berjasa pada kelab tu,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Isu kembali hangat apabila Faisal membuat hantaran di media sosial yang menyindir dipercayai ditujukan kepada bekas majikan atas beberapa perkara sehingga menimbulkan berang kepada penyokong Sang Penyu.

Sulaiman yang juga bekas pemain Kuala Lumpur menasihati pemain yang lain temasuk pemain muda agar tidak terikut-ikut jiwa muda yang cepat panas dan mahu berfikir dahulu sebelum menulis.

“Jangan terlalu ikut perasaan dan apa-apa semua nak luah dalam media sosial sama ada hal buruk dan baik kelab.

“Kita dalam kelab dalam kontrak yang sign ada tulis menjaga nama baik kelab dan kalau tidak tahu jaga nama baik kelab tidak mustahil selepas ini kita buat benda yang sama apabila kita berpindah ke kelab yang lain pula.

ARTIKEL BERKAITAN : “Selamat berjaya dan hati-hati di Ganu”, pesan Mickey kepada Adib

“Kita akan burukkan kelab yang kita ada sekarang. Kita tak nak pemain tidak tahu bahawa jadi pemain profesional bukan sahaja dalam padang. Tingkah laku luar padang juga diberi perhatian.

“Lagi-lagi pemain ini dah bertaraf pemain kebangsaan. Jadi tindak-tanduk kita diperhatikan dan akan menjadi cerminan kepada pemain-pemain masa hadapan.

“Bila anda bagi contoh yang baik akan diikuti pemain muda akan datang. Kita tengok macam mana Shukor (Adan) Indra Putra (Mahayuddin) dan lain-lain, kenapa mereka kekal lama dalam bola sepak sebab menghormati antara satu sama lain antara kelab dan pemain.

“Sebab itu mereka boleh pergi mana-mana dan mereka diberi layanan cukup baik kerana dihormati pasukan serta mereka menghormati budaya kelab diwakili,” katanya lagi.