SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

Baginda Tuanku Sultan turut bangga dengan pelbagai pencapaian yang dikecapi oleh skuad Harimau Selatan itu di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Sultan Johor turut menzahirkan ucapan syabas kepada JDT yang turut melengkapkan kejuaraan ‘quadruple’ kali kedua berturut-turut.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada sokongan padu yang sentiasa diberikan rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.

“Kejayaan ini juga kepada anda semua yang sentiasa bersama JDT,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Sabtu.

Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan yang sedang menikmati santapan minum petang di Paul, di ibu negara dikejutkan dengan keberangkatan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berangkat sama, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda dan paduka anakanda.

Tunku Mahkota Johor turut berkenan mempersembahkan trofi Piala Malaysia kepada Sultan Johor.

JDT menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.