PERMOHONAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mendapat perkenan baginda.

Menurut Hamidin, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada beliau pada petang semalam.

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk Munir kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan mengadap Tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Datuk Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” kata Hamidin.

Hamidin berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Datuk Munir bahawa Tuanku Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai 2024.

Hamidin Mohd Amin

“Insya Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” jelas Hamidin.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Malaysian Football League (MFL).

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku Presiden FAM kerana baginda telah lama mengenali beliau yang merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan juga berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Ia susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei 2024.