SULTAN Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan titah pesanan kepada pengurusan, kelab-kelab penyokong dan juga semua penyokong Selangor FC khususnya Ultras Selangor yang hadir ke stadium pada setiap perlawanan.

Baginda telah mengirim sepucuk warkah kepada pengurusan Selangor FC pada 10 Oktober untuk mengingatkan semua pihak agar menjaga tingkah laku masing-masing supaya tidak berlaku lagi perselisihan faham dan pergaduhan di dalam mahu pun luar padang, yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.

Sultan Selangor juga mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.

Titah Baginda, sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan.

Baginda ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat jelata tanpa ada anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya.

Ketika aksi Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu, penyokong Selangor yang diwakili Ultras Selangor telah berkumpul di hadapan stadium untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan selepas Gergasi Merah kehilangan dua mata berharga dalam perlawanan itu.

Tindakan itu dianggap tidak wajar kerana dilakukan di tempat lawan dengan pengurusan PDRM FC sendiri kecewa atas apa yang berlaku kerana ianya mungkin memberikan kesan buruk kepada pasukan tuan rumah.

Menambah lagi kehangatan di Selayang, seorang pegawai pasukan Selangor FC telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak media yang mana pihak kelab telah mengambil tindakan lanjut berkenaan perkara itu bagi menjamin imej kelab.

Selangor FC bakal berhadapan dua perlawanan yang cukup besar musim ini dengan melayan kunjungan Jeonbuk Hyundai Motors pada Rabu sebelum berhadapan Johor Darul Ta’zim pada Ahad dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.