KEJOHANAN Super School Rugby (SSR) 2024 yang bermula pada Jun ini akan dirancakkan lagi dengan pengenalan kategori baharu iaitu Super School Rugby Academy Division dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan ragbi.
Edisi kesembilan SSR 2024 ini akan menyaksikan sebanyak 20 pasukan bertanding dari sekolah-sekolah tradisi ragbi seluruh Malaysia untuk merebut kejuaraan B-17 tahun.
SSR Academy Division pula bakal menyaksikan tujuh sekolah akan berentap untuk merebut kejuaraan B-15 yang juga bertindak sebagai platform terbaik untuk menggilap bintang muda yang bakal mewakili negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin berkata, penganjuran saingan Super Schools Rugby (SSR) 2024 yang akan bermula Jun ini antara platform terbaik melahirkan pemain muda untuk pasukan negara.
“Kategori berkenaan adalah membabitkan Super Schools Rugby Academy Division menampilkan tujuh sekolah yang memiliki kehebatan dan kejayaan dalam sukan itu.
“Kejohanan ini penting dalam landskap pembangunan ragbi tempatan kerana ia kekal sebagai satu-satunya kejohanan ragbi 15 sebelah peringkat kebangsaan dianjurkan luar kalendar Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
“Selain itu, kami berharap penambahan divisyen baharu bakal terus meningkatkan lagi mutu penganjuran kejohanan di samping melahirkan lebih banyak bakat muda untuk diserapkan ke pasukan senior kelak,” katanya dalam sidang media selepas majlis memperkenalkan pasukan SSR 2024.