AKSI separuh akhir Super Schools Rugby bawah 15 tahun telah berlangsung penuh sengit di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada Sabtu.

Jurulatih pasukan Semashur Zealord daripada SM Sains Hulu Selangor, Amir Ashmaan Abd Mutalib sangat senang hati apabila anak buahnya berjaya menewaskan pasukan daripada Maktab Tentera DiRaja (RMC) dengan keputusan 9-7.

Perlawanan yang cukup sengit itu memberikan kelebihan buat pasukan Semashur untuk melangkah ke perlawanan akhir sekali gus berharap untuk mengekalkan kejuaraan kali ini.

Amir Ashmaan turut mengakui kelebihan skuad RMC dari segi fizikal namun menurutnya, strategi yang digunakan dalam pasukan Semashur ini lebih berhasil dan mampu mengalahkan kekuatan mereka.

“Saya berasa berpuas hati untuk aksi separuh akhir ini tetapi kita kena buat yang lebih baik dalam final nanti.

“Kita akan menyusun semula strategi dalam final mengikut kebolehan pasukan yang akan berentap bersama nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Tambahan, Muhammad Amrin Qadeem Mohd Suffian pemain daripada Semashur telah diangkat sebagai ‘Man of The Match’ dalam pertarungan mendebarkan semalam.