JIKA bercakap mengenai pasukan Gajah Perang, Thailand, semestinya nama-nama seperti Suphanat Muenta dan Suphacok Sarachat pasti meniti dibibir peminatnya.
Tahukah anda dua orang pemain kebangsaan Thailand ini merupakan produk hasil daripada Akademi Buriram United yang berpusat di Buriram, Thailand.
Kedua-dua mereka merupakan pemain kebangsaan Thailand dimana Suphanat Muenta bermain bersama Buriram United di Liga Utama Thailand diusia 20 tahun manakala Suphacok Sarachat kini beraksi bersama pasukan Liga 1 Jepun, Haikkado Consadole Sapporo secara pinjaman dari Buriram United.
Menariknya buat edisi kali ini setelah hampir 2 tahun tidak diadakan, Buriram United hadir selaku juara bertahan bagi kategori bawah 13 tahun yang dimenangi mereka pada edisi 2019 menewaskan pasukan AMD Cougars dengan jaringan 2-0 di pentas akhir.
Ironinya, kebanyakan pemain AMD Cougars ketika itu merupakan sebahagian daripada pemain pasukan Malaysia bawah 16 tahun yang mengesahkan tempat ke Piala Asia Bawah 17 tahun 2023 bersama-sama Thailand, Vietnam dan Laos dari rantau Asia Tenggara.
Buriram United kali ini hadir dengan pasukan baru namun tetap dengan azam yang sama mahu kekalkan kejuaraan yang dimenangi mereka pada edisi lalu. Persiapan yang rapi telah dibuat bagi memastikan misi itu dapat dicapai.
Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Ketua Jurulatih Buriram United, Sonchai Menkhuntod berkata, mereka telah bersedia dan segala persiapan sebelum ke kejohanan ini telah dijalankan dengan baik.
“Kami sudah sampai di sini dan segala persiapan telah kami adakan dengan baik. Kami yakin kami mampu menjadi yang terbaik dalam kejohanan kali ini.
“Kami juga bersyukur dan ingin berterima kasih kepada pihak penganjur yang menjemput kali sekali lagi ke kejohanan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin.