SURUHANJAYA Kehakiman (Judicial Commission) Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) telah membatalkan penggantungan tambahan selama 12 bulan yang dikenakan kepada Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan mengarahkan pihak KHM membayar segala kos berkaitan dengan rayuan itu.

Sebelum ini, Megat yang juga pemilik Hockacademy telah didakwa oleh Jawatankuasa Tatatertib KHM kerana dikatakan melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia 2020 apabila membuat kenyataan media berkaitan dengan kelewatan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan Liga Hoki Malaysia.

Akibatnya, beliau telah digantung selama 18 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa mulai 3 November 2020 iaitu sebagai Perintah Penggantungan Pertama.

 

Megat sekali lagi didakwa KHM melanggar perintah penggantungan pertama apabila terlibat dalam temu ramah atas talian bersama bekas pemain hoki Pakistan, Shahbaz Ahmad dan kegagalan memperbetulkan maklumat surat Bremer Hockey Club kepada Menteri KBS dan dikenakan hukuman tambahan selama 12 bulan.

Berdasarkan siaran media yang disiarkan pihak Hockacademy, selepas rayuan dibuat, Suruhanjaya Kehakiman FIH yang diketuai oleh Dr. Stephan Netzle (Pengerusi), Urvasi Naidoo (Panel) dan Eduardo Guelfand (Panel) telahpun sebulat suara untuk membenarkan rayuan dilakukan dan membatalkan perintah penggantungan tambahan selama 12 bulan itu dan mengarahkan pihak KHM membayar kos prosiding keseluruhannya berjumlah CHF13,500 (RM68,961).

Panel FIH juga menegur KHM untuk tidak boleh menjatuhkan sebarang hukuman berat kepada individu tanpa dipertimbangkan keseriusan kesalahan, hukuman yang bersekadar (proportionate), impak kepada sukan hoki dan pilihan hukuman-hukuman lain yang lebih bersesuaian.