DUA lelaki telah ditahan berhubung kes pecah masuk dan rompakan di rumah pemain pertahanan Selangor Ahmad Khuzaimi Piee, kata Datuk Hussein Omar Khan.

Ketua Polis Selangor itu berkata kedua-dua suspek ditahan berhampiran Kampung Alur Tuman di Marang, Terengganu pada 26 Jun lalu.

“Mereka ditahan selepas kedua-duanya mengalami kemalangan.

“Kami percaya kedua-dua mereka bertanggungjawab atas kecurian di rumah pemain bola sepak itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Selangor pada Selasa.

Polis turut merampas beberapa barangan bernilai lebih RM50,000 daripada suspek, katanya.

“Antara barang rampasan ialah 17 beg, tujuh telefon bimbit, sebuah kamera, empat pasang sarung tangan, 17 jam tangan, lima cincin, sebuah kereta dan sebuah motosikal.

“Kedua-dua lelaki juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Suspek telah direman sehingga 3 Julai, katanya lagi.

Keadaan rumah Ahmad Khuzaimi Piee yang dipecah masuk pada 22 Mei lalu

“Kami percaya mereka bertanggungjawab ke atas sembilan kes pecah rumah dan kecurian termasuk di rumah pemain bola sepak itu.

“Mereka mempunyai dua kes masing-masing di Selangor, Melaka dan Pahang serta tiga kes di Terengganu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya, maka hendaklah juga dikenakan hukuman denda atau sebat,” tambahnya.

Pada 22 Mei lalu, Khuzaimee telah membuat laporan polis selepas rumahnya di Shah Alam dipecah masuk kira-kira jam 11.30 malam.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan MPV berwarna putih untuk pergi ke rumah berkenaan.

Antara barang yang dicuri ialah Yamaha Y15ZR berwarna biru, beg silang pelbagai jenama dan pasport. Kerugian yang dialaminya mencecah RM15,000.

Polis berkata, suspek memantau rumah lain sebelum memecah masuk ke rumah pemain bola sepak itu. Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki yang terlibat dalam pecah rumah itu.