URA-URA mengenai status penghijrahan tonggak pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad secara pinjaman ke kelab utara tanah air akhirnya terjawab hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu turut menyatakan keterujaannya apabila secara rasmi telah diumum menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kedah Darul Aman FC, menerusi hantaran yang dimuat naik ke laman Instagramnya.

“Saya gembira dapat kembali ke pasukan yang saya pernah mencipta nama, saya akan berusaha bantu naikkan nama Kedah dan yang penting, prestasi saya dapat dipertingkatkan.

Syafiq Ahmad merupakan penyerang di pasukan gergasi JDT sebelum ini.

“Kedah ada penyokong yang cukup besar, dengan perancangan terkini, senarai pemain baru yang masuk musim ini, saya dan rakan sepasukan berazam untuk naikkan nama Kedah sejurus kembali digeruni,” ujarnya dalam kenyataan yang dimuat naik oleh Kedah FC.

Untuk rekod, Syafiq hanya beraksi selama 65 minit secara keseluruhan pada musim 2023 bersama JDT tanpa terikat dengan sebarang jaringan.

Kini, Skuad Helang dilihat semakin rancak dalam menyusun percaturan baharu menjelang saingan bola sepak musim 2024 apabila mengekalkan enam pemain sedia ada sekali gus mengeluarkan 13 pemain termasuk import untuk musim ini.

Enam pemain yang masih di bawah kontrak dengan skuad adalah seperti Kalamullah Al-Hafiz, Fayadh Zulkifli, Wan Amirul Afiq, Aiman Afif, Hieshamudin, dan Kamil Akmal juga bakal menyemarakkan semangat bersama pasukan.