PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad kembali dipanggil ke kem kebangsaan menjelang dua aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei dan ianya mendapat reaksi positif daripada para penyokong Harimau Malaya.

Syafiq yang berjaya menjaringkan gol terpantas Liga Super 2024-25, mempunyai 38 penampilan dengan skuad kebangsaaan dipanggil semula Kim Pan-gon dan dilihat berpotensi untuk mengetuai barisan serangan Malaysia dalam aksi di Bishkek dan Bukit Jalil.

Pemain berusia 29 tahun itu kali terakhir mewakili skuad kebangsaan pada Mac 2023 ketika aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim dan selepas itu disisihkan dari skuad sehingga dia terlepas ke Piala Asia 2023 di Qatar.

Syafiq kembali berada dalam skuad Harimau Malaya

Perpindahan secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Kedah menyaksikan Syafiq mendapat minit permainan yang diperlukan dan ketajamannya di depan gawang masih berbisa sekaligus menarik perhatian Pan-gon untuk kembali menyenaraikannya.

Berdasarkan senarai 26 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Syafiq bakal bergandingan bersama-sama Paulo Josue, Darren Lok dan Haqimi Azim untuk memastikan keputusan positif sekaligus membantu Harimau Malaya layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama.

Turut dipanggil semula adalah pertahanan JDT dan Kuala Lumpur City Feroz Baharudin serta Declan Lambert yang pastinya menambah pilihan Kim Pan-gon untuk memperkuatkan barisan belakang dalam menghadapi perlawanan yang cukup penting ini.

Aksi Feroz ketika mewakili Harimau Malaya

Lambert sebelum ini mempunyai satu kaps bersama Harimau Malaya ketika membantu Malaysia menewaskan Thailand dalam perlawanan King’s Cup di Chiang Mai pada 2022 dengan menjaringkan salah satu penentuan penalti.

Feroz juga kembali dipanggil selepas terlepas kem ke Piala Asia kerana mendirikan rumah tangga dan kini akan memperkuatkan pertahanan selepas melakukan debut pada 2023 ketika menentang Turkmenistan sebelum membuat penampilan kedua ketika Malaysia membelasah Kepulauan Solomon 10-0 di Gong Badak.

Tambah menarik, dua pemain baharu bakal menyertai kem kebangsaan iaitu pemain Penang FC, Adib Ra’op dan pemain Terengganu FC, Engku Shakir Engku Yacob selepas masing-masing mempamerkan aksi yang baik bersama kelab dalam perlawanan liga.

Buat pertama kali juga sejak di bawah bimbingan Pan-gon, hanya dua pemain naturalisasi dipanggil ke kem latihan pusat dengan Paulo Josue dan Endrick Dos Santos dipilih ke dalam skuad 26 pemain itu.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.