PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad gembira kerana gol pantas seawal minit pertama perlawanan cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Sang Kenari dalam aksi pembukaan Liga Super 2024-25 menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Syafiq juga gembira kerana berjaya membentuk kombinasi mantap bersama keseluruhan pemain terutama rakan di bahagian hadapan dan berharap momentum ini berterusan sepanjang musim ini selain gembira diberikan kepercayaan sebagai salah seorang kapten pasukan.
“Syukur dengan rezeki ini dan saya gembira dengan rakan-rakan yang membantu kami dapatkan jaringan awal. Ini adalah permulaan yang baik buat saya, rakan sepasukan dan kelab sendiri jadi momentum ini harap diteruskan dalam perlawanan selepas ini.
“Kami mempunyai banyak perlawanan pramusim dan latihan yang menyaksikan kami dapat bermain bersama-sama dan ini banyak membantu kombinasi saya dengan Sony Norde dan semua pemain sekaligus dapat bantu kami bentuk keserasian sebagai satu pasukan.
“Menjadi kapten bersama ini adalah satu kepercayaan dari barisan kejurulatihan dan kami membalas semula kepercayaan itu dalam perlawanan kerana bagi saya, sesiapa pun yang diberikan kepercayaan sebagai kapten akan pastikan Kedah mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan.
Dalam pada itu, Syafiq tidak menyembunyikan hasrat untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya dan dia berharap gol ini dapat kembali membantunya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia pada Jun ini.
“Gol ini berikan saya semangat untuk lebih menonjol dan harap dapat jaringkan gol dalam setiap perlawanan untuk saya kembali beraksi dengan skuad Harimau Malaya.
“Ini kerana kita mempunyai perlawanan kelayakan yang penting dan sebagai pemain yang pernah beraksi di peringkat kebangsaan, saya tahu betapa pentingnya saya mahukan tempat dalam skuad kebangsaan,” jelasnya.
Pemain berusia 28 tahun itu yang kembali ke Kedah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim dilihat selesa dengan peranan yang diberikan oleh Nafuzi Zain dan kini sedia mencabar tempat sebagai penyerang utama skuad Sang Kenari musim ini.