GANDINGAN Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Mohd Fishol menghadiahkan pingat di Kejohanan Dunia Bowling IBF di Kuwait, sekali gus meneruskan kecemerlangan skuad boling negara dengan pingat gangsa.
Syafiq-Muaz meraih gangsa acara doubles lelaki selepas tewas di separuh akhir kepada pasangan Korea Selatan, Kim Kyung Min-Kim Dong Hyeon dalam aksi yang berlangsung di Kelab Sukan Bowling, Salmiya.
Harapan Syafiq-Muaz ke final pada kejohanan di Salmiya itu tidak kesampaian apabila tewas 222-233 pada perlawanan pertama sebelum akur dengan kehebatan lawan yang melakukan 238 jatuhan ping pada permainan kedua berbanding gandingan negara hanya 207 jatuhan.
Kyung Min-Dong Hyeon akhirnya berjaya memenangi pingat emas selepas menewaskan satu lagi beregu Korea Selatan, Won Jong Hyeok-Oh Byung Jun 244-235 dan 201-176 pada perlawanan akhir awal pagi Jumaat.
Selain Syafiq-Muaz, pujian juga harus diberikan kepada kem boling negara kerana sebelum itu menyaksikan Natasha Mohamed Roslan muncul juara dunia selepas menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane pada final individu wanita.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara doubles lelaki di pentas Kejohanan Dunia adalah melalui gandingan Adrian Ang dan Tun Ameerul Al-Hakim pada edisi 2018 di Hong Kong, yang turut menyaksikan Muhd Rafiq Ismail turut menang emas acara single (2018).