ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh kini dalam persediaan menuju ke Kejohanan Akuatik Dunia 2023 yang akan diadakan pada 14 Julai sehingga 30 Julai depan di Fukuoka, Jepun.
Syafiq yang berusia 28 tahun mengakui tidak dapat ke Malaysia bagi meraikan Hari Raya AidilAdha bersama keluarga berikutan sedang menjalani latihan di China sempena kejohanan tersebut.
“Saya sekarang masih berada di China, kerana kami ada latihan kem di Qinghuandau untuk sukan kejohanan dunia bulan hadapan di Fukuoka.
“Persediaan saya setakat ini alhamdulillah berjalan dengan baik sepertimana jurulatih saya dah buat rancangan program untuk saya dan saya perlu konsisten terhadap terjunan saya,” kata Syafiq ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam masa yang sama, Syafiq juga dalam usaha untuk mencabar pingat emas di sukan Asia dengan melakukan beberapa teknik terjunan baharu bagi mendapatkan keserasian bersama Ooi Tze Liang di aksi kejohanan yang bakal berlangsung.
“Saya ada belajar dive baharu untuk syncro bersama Ooi Tzee Liang dan daripada situ kita akan cuba untuk berikan yang terbaik dalam acara Syncro 3 meter papan anjal.
“Bagi saya, kejohanan dunia pada bulan depan ini adalah satu persediaan yang terbaik untuk kami berdua menjelang Sukan Asia akan datang pada bulan September nanti,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai situasi menjalani latihan luar daripada negara Malaysia, Syafiq menyatakan cuaca di China berada dalam keadaan yang baik dan tidak jauh beza dengan negara sendiri menjadikan dia selesa untuk terus menjalani latihan.
Sebagai rekod, Syafiq pernah memenangi pingat emas acara terjun 3 meter papan anjal dalam Sukan Asia Tenggara 2021 di Hanoi manakala dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dia mendapatkan pingat Perak bagi acara 3 meter berirama dan pingat Gangsa bagi acara 3 meter berirama campuran.
Terbaharu, Syafiq juga menjadi salah seorang atlet yang berjaya menyumbangkan emas buat negara dalam Sukan SEA 2023 di Phnom Penh bagi acara 3 meter papan anjal.