PERTAHANAN skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri bersama latihan skuad kebangsaan kerana ianya menyamai corak latihan ketika di Johor Darul Ta’zim yang mengamalkan corak berintensiti tinggi.

Syahmi yang kembali dipanggil dalam skuad kebangsaan selepas disisihkan sebelum ini berterima kasih atas kepercayaan barisan kejurulatihan dan bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Dia yang pada mulanya dipersiapkan Kim Pan-gon untuk posisi pertahanan kiri tetapi ekoran kecederaan yang menimpa Azam Azmi Murad, dia ditukarkan ke bahagian kanan untuk bersaing dengan Matt Davies namun baginya itu adalah perkara biasa dalam kariernya.

“Terima kasih pada barisan kejurulatihan kerana bagi kepercayaan pada saya untuk bersama pasukan kebangsaan sekali lagi. Pasukan kini dalam keadaan terbaik dengan semua pemain bagi komitmen dalam latihan dan dalam momentum terbaik sebelum perlawanan pada Khamis.

“Panggilan sebelum ini juga saya diberikan peranan yang sama dan menjadi ‘back up’ kepada Corbin Ong jadi pada saya tak jadi masalah kerana semua pemain dalam skuad ini sentiasa bersedia untuk semua situasi yang akan berlaku.

“Latihan di sini tidak banyak beza dengan ketika di kelab dengan latihan berintensiti tinggi dan saya tidak ada masalah untuk adaptasi dengan suasana latihan cuma kena lebih cepat adaptasi taktikal jurulatih,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Syahmi juga sudah bersedia sekiranya diturunkan dan sudah menganalisa kekuatan lawan dengan dia menjangkakan aksi yang sengit namun dia percaya dengan kemampuan rakan-rakan sepasukannya.

“Jika diberikan peluang, saya akan berikan yang terbaik kerana siapa pun bermain untuk skuad kebangsaan, mereka akan tingkatkan kelebihan secara individu dan secara tidak langsung dapat tingkatkan kualiti pasukan.

“Barisan kejurulatihan sudah beri analisis tentang pasukan lawan dan kami jangka kan serangan pantas terutama dari sayap dan kami perlu bersedia kerana perlawanan ini penting untuk ranking dunia dan juga untuk layak secara automatik ke Piala Asia 2027.

“Tekanan sentiasa ada kerana mereka punya ranking lebih tinggi dari kita tetapi tidak ada yang mustahil kerana kita telah buktikan ketika lawan Syria dan China jadi saya rasa sangat penting untuk perlawanan ini dan perlu fokus untuk dua aksi awal ini terlebih dahulu yang juga persiapan ke Piala Asia,” jelasnya.

Syahmi yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara AFC mahu menggunakan kelebihan itu sekiranya diberikan peluang bermain kerana sudah biasa dengan permainan berintensiti tinggi di peringkat antarabangsa.