PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari tidak menolak untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan jika diberikan peluang setelah membantu JDT layak ke final Piala FA selepas menewaskan Penang FC 6-1 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Syahmi juga gembira dengan jaringan yang berjaya dilakukan dan menghadiahkan gol dan kemenangan ini kepada keluarganya.
Dia yang kembali dalam skuad utama JDT selepas diketepikan akibat masalah kesihatan kini sudah berjaya menjaringkan dua gol selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian tetapi dia tidak mahu menganggap dirinya sebagai ‘supersubs’.
“Saya hanya mempamerkan aksi terbaik di atas padang dan InshaAllah jika saya dipilih untuk kembali mewakili Malaysia oleh Kim Pan-gon, saya pasti akan lakukan yang terbaik buat negara.
“Selepas saya mengalami masalah kesihatan, rasanya ini adalah titik permulaan untuk kembali mendapatkan keyakinan dan minit permainan saya. Jika diberikan peluang bermain saya akan gunakannya untuk memberikan yang terbaik.
“Saya juga tidak pernah menganggap diri saya sebagai supersub. Ini adalah rezeki anak-anak dan isteri dan saya cuma beri yang terbaik dan gembira kerana berjaya menjaringkan gol,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.
Syahmi juga turut berterima kasih kepada semua penyokong JDT dan Penang FC yang hadir ke stadium kerana ianya memberikan satu atmosfera yang luar biasa sekaligus menaikkan semangat pemain yang beraksi.
“Atmosfera memang wow. Ianya sangat membantu pemain meningkatkan semangat di dalam padang. Terima kasih kepada penyokong JDT dan Penang yang hadir kerana berjaya menaikkan semangat kami para pemain,” tambahnya.