PEMAIN pertahanan, Syahmi Safari telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas tidak dapat meneruskan perjuangan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, 8 hingga 14 Jun ini kerana masalah kesihatan.

“Keputusan ini terpaksa dibuat selepas Syahmi yang dibawa ke hospital untuk ujian perubatan, pagi tadi kerana masalah sinus dialaminya semakin teruk telah mendapat nasihat daripada doktor pakar untuk beliau menjalani rawatan susulan dalam kadar segera.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” jelas pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon dalam satu kenyataaan pada Selasa.

Dengan ketiadaan Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong, malam esok (Rabu) dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini.