ATLET renang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan pemain skuasy wanita, S Sivasangari muncul penerima
Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) tertinggi selepas masing-masing cemerlang di Sukan Asia serta Para Asia Hangzhou, September hingga Oktober lalu.
Nur Syaiful memenangi pingat emas acara 100 meter (m) kuak dada SB4 yang membolehkan dia menerima RM80,000 selain gangsa 100m gaya bebas S5 (RM20,000), membawa pulang RM110,000.
Dia juga menerima insentif tambahan sebanyak RM10,000 susulan kejayaannya memecahkan rekod temasya bagi acara kuak dada SB4.
Sementara itu, Sivasangari menerima RM80,000 selepas berjaya memenangi emas perseorangan wanita dan RM20,000 lagi hasil kemenangan emas dalam acara berpasukan wanita.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keseluruhan ganjaran Shakam untuk pemenang pingat pada temasya kali ini berjumlah hampir RM2.8 juta yang diberikan kepada 66 pemenang pingat Sukan Asia dan 37 pemenang pingat di Sukan Para Asia.
Katanya, sebagai menghargai jasa dan sumbangan jurulatih, pihaknya juga menyerahkan insentif kepada jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR) berjumlah hampir RM550,000 untuk kedua-dua temasya berkenaan.
“Sejurus selepas saya lapor diri di KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pada Disember 2022, saya telah laksanakan engagement dengan atlet-atlet kita melalui sesi townhall pada 18 dan 22 Disember 2022.
“Hasil daripada libat urus ini, saya telah nyatakan dalam penggulungan peringkat
Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat semalam (kelmarin), bahawa kementerian melalui MSN sedang meneliti pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk semua atlet di bawah Program Podium mulai Januari 2024.
“Lembaga Pengurusan MSN baru-baru ini juga telah meluluskan Kajian semula Skim Elaun Latihan Atlet Kebangsaan yang meliputi elemen KWSP dan Perkeso akan dilaksanakan juga mulai Januari 2024 bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan atlet negara,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Shakam di salah sebuah hotel di sini pada Khamis.
Kontinjen Malaysia membawa pulang 32 pingat yang terdiri daripada enam emas, lapan perak dan 18 gangsa di Sukan Asia manakala kontinjen para memenangi keseluruhan 39 pingat merangkumi tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa.