Tujuh pemain SRC mewakili Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah Bentong beraksi pada MSSD Bentong 2023.

FOTO KREDIT : Syairi Racquet Club (SRC)

SERAMAI 14 pemain dari Syairi Racquet Club (SRC) menunjukkan prestasi memberangsangkan pada Kejohanan Badminton Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD) Bentong 2023 berakhir pada Jumaat.

Pada kejohanan bermula 6 Jun itu, pemain yang mewakili sekolah masing-masing meraih satu perak menerusi beregu perempuan bawah 15 tahun dan dua gangsa menerusi perseorangan perempuan bawah 15 tahun dan beregu lelaki bawah 12 tahun.

Jurulatih SRC, Mohd Syairi Mohamad Shaari, 47, berkata, pencapaian pemain kelab ini luar biasa kerana rata-rata pemain pertama kali menyertai kejohanan ini.

Menurutnya, malah ada pemain yang berjaya ke suku akhir namun kekurangan pengalaman beraksi dalam pertandingan menyekat kemaraan lebih jauh.

“Namun saya amat bangga dengan prestasi pemain kerana jurang mereka dengan pemain yang berpengalaman tidak jauh malah mampu mencabar dan beri saingan sengit.

“Kelab ini ditubuhkan tiga tahun lalu dan saya gembira kelab ini dapat melahirkan bakat-bakat baru dari tiada asas badminton sehingga mampu menyertai kejohanan,” katanya yang berpengalaman 15 tahun dalam kejurulatihan badminton.

Masyitah (kanan) menerima hadiah dan sijil dari wakil Pejabat Pendidikan Daerah setelah meraih gangsa acara perseorangan perempuan.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ketari, Eisya Masyitah Azman Junaidi,13, berkata, dia bersyukur memperolehi pingat perak dalam beregu dan tidak sangka boleh melangkah sejauh itu.

Namun begitu, katanya, dia turut gembira apabila berjaya meraih gangsa dalam acara perseorangan walaupun hampir selangkah ke final.

“Saya bersyukur dan ingin berterima kasih kepada ibu bapa, jurulatih dan sekolah yang memberi kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bahagi dari awal hingga akhir kejohanan ini,” kata anak sulung dari tiga beradik ini.

Nafiz (kiri) dan Farrish meraih gangsa pada Kejohanan Badminton MSSD Bentong 2023.

Khairez Putra Nafiz Rezly Izham,12, murid Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah Bentong pula tidak percaya memperolehi pingat gangsa dalam acara beregu bersama Muhammad Farrish Rayyan Bin Asmadi, 12.

“Ini pertama kali saya menyertai MSSD Bentong dan bersyukur dapat membalas kepercayaan sekolah.

“Terima kasih juga kepada jurulatih, ibu bapa dan rakan-rakan yang tidak jemu-jemu membakar semangat saya,” katanya.