DUA tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammad Syamer Kutty Abba dan Muhammad Feroz Baharudin telah selamat mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihan mereka.

Menurut gambar-gambar yang telah dikongsi di laman sosial peribadi Instagram Syamer, turut kelihatan kelibat Akhyar Rasyid, Syazwan Andik, Khuzaimi Piee, Safawi Rasid, Haziq Nadzli dan ramai lagi pemain bola sepak yang berkunjung untuk sama-sama meraikan majlis persandingan rakannya.

Feroz pula difahamkan selamat bernikah pada malam Jumaat dan akan meneruskan majlis persandingannya mungkin pada hari ini, Sabtu.

Terdapat komen-komen para penyokong yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pasangan mempelai dan ada juga yang mengeluarkan kenyataan berbaur negatif seperti menggambarkan prestasi mereka yang bakal merudum kelak.

Sebagai rekod, Syamer telah mulakan kariernya bersama skuad JDT II sejak tahun 2019 dan hingga kini telah berada dalam skuad senior.

Tetapi, aksi terakhirnya untuk musim 2023 adalah pada perlawanan Piala Malaysia antara JDT dan Negeri Sembilan, 23 September dan selebihnya dia dipilih untuk berada di bangku simpanan sahaja.

Manakala, Feroz yang dikategorikan sebagai pemain harapan JDT pula sedang berada di landasan terbaik dan berjaya menjaringkan dua gol buat pasukannya dalam aksi Liga Super musim ini.

Perjalanan kariernya sama seperti Syamer, dimana dia mula mengorak langkah sejak di JDT II pada tahun 2020 dan diberi kepercayaan untuk menguatkan barisan hadapan skuad utama JDT pada 2022.