PEMAIN tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menghormati tindakan boikot yang dilakukan oleh Ultras Malaya dan segelintir penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagi Syamer apa yang penting adalah prestasi pasukan di atas padang dan jika layak ke final, dia berharap ianya akan menjadi sebab penyokong akan kembali ke stadium dan berdiri di belakang pasukan seperti sebelum ini.

“Saya fikir perkara paling istimewa buat Malaysia ialah penyokong dan perkara paling istimewa di Bukit Jalil ialah penyokong yang memenuhi stadium tetapi kami monghormati jika mereka mahu boikot kerana ia berada di luar kawalan kami.

Pestabola Merdeka sunyi tanpa pemain ke-12

“Apa yang kami boleh kawal ialah prestasi kami di atas padang dan kami akan cuba untuk memberikan sesuatu untuk penyokong kembali percaya dan datang ke stadium dalam perlawanan kedua untuk memberikan sokongan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Syamer mengakui dia berasa sedih dengan tindakan boikot itu kerana dia hadir memperkuatkan pasukan kebangsaan adalah kerana penyokong tetapi dia tetap akan berikan segalanya jika diturunkan.

“Secara peribadi, ia sesuatu yang menyedihkan kerana saya masuk ke kem latihan ini kerana mahu memberikan sesuatu kepada penyokong tetapi apa yang berlaku ini sesuatu yang di luar kawalan saya.

“Apabila kami memenangi perlawanan pertama, mungkin mereka boleh datang dalam perlawanan kedua untuk menunjukkan yang kita melalui segalanyan bersama-sama dan tidak boleh dipisahkan,” jelasnya.

Jualan tiket untuk Pestabola Merdeka 2024 dikhabarkan sangat menyedihkan selepas Ultras Malaya mengumumkan mereka memboikot kejohanan itu atas alasan ketidakpuasan hati keatas FAM selepas Kim Pan-gon meletakkan jawatan pada Julai.

Harimau Malaya akan berhadapan Filipina pada Rabu dan jika menang akan layak ke final bertemu antara Lubnan atau Tajikistan pada Ahad di Stadium Nasional Bukit Jalil.