PEMAIN tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba tidak mengambil ringan aksi bertemu Papua New Guinea pada persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Menurutnya, mereka hadir ke Terengganu dengan mentaliti menyasarkan kemenangan khususnya dalam persiapan menghadapi Piala Asia awal tahun depan.

“Kita ambil serius setiap perlawanan tak kira siapa lawan dan akan bermain dengan corak taktikal diterapkan jurulatih Kim Pan-gon.

“Semua orang akan bagi yang terbaik dan bagi kami keputusan tak memainkan peranan.

“Setiap kali pakai jersi Malaysia adalah satu tekanan untuk kami. Tapi itu adalah hidup dan kami ambil tekanan ini sebagai perkara yang baik,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu pada Sabtu.

Syamer yang mengutip 22 kaps untuk skuad Harimau Malaya ketika ini bertekad memenangi hati Pan-gon dan akui selalu menambah baik tahap permainan daripada setiap perlawanan dilalui.

“Saya memang dari kecil nak main untuk Malaysia dan cuba dapatkan sebanyak kaps untuk negara.

“Setiap staf bagi yang bagi terbaik dan mahu naikkan kembali bola sepak Malaysia kerana impian terbesar saya bermain di Piala Asia dan berjumpa lawan lebih baik,” kata pemain Johor Darul Ta’zim itu lagi.

Syamer juga berharap sokongan daripada penyokong di Pantai Timur berterusan dan mampu memberi tonik tambahan kepada mereka beraksi atas padang.

“Cuma nak beritahu terus bagi sokongan dan datang dengan keluarga. Great atmosphere buatkan kami tampil lebih baik,” katanya.