PEMAIN tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba gembira apabila dapat menyumbang tenaga selama 90 minit buat kali pertama selepas setahun ketika membantu Harimau Malaya mengatasi Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Rabu.

Syamer beraksi sangat tenang dan tidak kekok ketika mengendalikan bahagian tengah skuad kebangsaan meskipun jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama di kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Alhamdulillah selepas setahun dapat main 90 minit dan saya rasakan satu penghargaan dan gembira dapat panggilan ke skuad kebangsaan. Untuk perlawanan ini, kita tahu kita bermula agak tidak baik tetapi selepas itu kita bangkit, kita baca permainan dan bermain permainan kita dan akhirnya dapat menjaringkan gol.

“Lepas ketinggalan, kita tahu benda itu jadi sebab kesilapan tapi kami tahu kami adalah pasukan yang lebih baik dan kami percaya dengan apa yang ‘coach‘ ajar dan bermain dengan falsafah kami serta kekal dengan pelan perlawanan dan akhirnya kita dapat jaringkan gol dan mencipta banyak peluang,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia berjaya menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 menerusi jaringan debut Paulo Josue dan Arif Aiman pada babak pertama serta jaringan cantik Safawi Rasid serta Lee Tuck pada akhir perlawanan cukup untuk menggembirakan lebih 12,000 penyokong yang hadir.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi perlawanan kedua menentang Papua New Guinea pada 20 Jun nanti, Syamer menganggap ianya bukan aksi yang mudah dan mahu mengelak melakukan kesilapan jika ingin meraih kemenangan.

Syamer meraikan gol kedua Malaysia jaringan Arif Aiman

“Setiap perlawanan bukan perlawanan yang mudah walaupun menentang pasukan yang ranking lebih bawah dari kita tetapi kita tahu dalam ‘friendly match’ semua orang akan bagi 110 peratus jadi kalau nak menang kita kena bagi lebih daripada itu.

“Apa yang penting adalah fokus dan elak lakukan kesilapan yang mudah sebab kita tahu kita berlatih untuk Piala Asia dimana kita akan lawan pasukan yang lebih baik jadi kami kena perbaiki dari setiap aspek dan kita akan perbaiki lagi dan lagi,” jelasnya.

Kemenangan ke atas Kepulauan Solomon itu berjaya menambah 5.02 mata buat Malaysia dalam ranking Fifa dan berpeluang memintas Filipina sekiranya berjaya menewaskan Papua New Guinea minggu hadapan.