PEMAIN tengah Penang FC Syamer Kutty Abba tetap menaruh keyakinan tinggi untuk pasukannya memberikan cabaran hebat dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 meskipun hanya menggunakan khidmat empat pemain import.
Syamer,26, yang kembali menabur bakti dengan kelab negeri kelahiran apabila dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini tetap memandang positif pendekatan kelab itu walaupun terpaksa berdepan dengan lawan yang menggunakan import lebih ramai.
“Pengambilan empat pemain import adalah keputusan daripada Penang FC, pendekatan ini juga baik untuk pemain tempatan kita untuk dapat minit permainan.
“Pasukan lain ambil ramai pemain import dan pemain tempatan akan kurang. Alhamdulilah Penang FC ambil pendekatan untuk beri peluang pemain-pemain tempatan untuk menyinar,” katanya.
Setakat ini Penang FC sudah mengikat empat tonggak import iaitu Moon Gun Young, Rodrigo Dias, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan oleh Selangor FC selama semusim.
Pendekatan Penang FC yang tidak menggunakan sepenuhnya kuota sembilan pemain import adalah sesuatu yang menarik untuk disaksikan musim ini kerana keputusan baik pihak pengurusan untuk berbelanja lebih berhemah dapat memberi ruang kepada pemain tempatan mendapat tempat dalam skuad utama.
Bagaimanapun keupayaan Penang FC untuk menyinar bergantung kepada taktikal pengendali Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk mengadun ramuan terbaik gandingan pemain tempatan dan import.
Kelab PJ City FC sebelum ini telah membuktikan bahawa mereka boleh memberikan tentangan hebat kepada pasukan lain meskipun hanya menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan.
Mengulas mengenai tahap persediaan dirinya bersama Penang FC, Syamer yang juga pemain kebangsaan percaya dia tidak berdepan masalah untuk mencipta keserasian.
“Saya tak ambil masa lama untuk menyesuaikan diri, saya ingin memperbaiki prestasi sendiri hari demi hari untuk mendapatkan minit permainan, untuk matang dalam permainan bagi membantu Penang FC,” katanya.
Penang FC akan membuka saingan Liga Super dengan bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu bertemu Sabah FC pada Ahad ini, 12 Mei 2024.