DUA kali menempatkan diri ke Sukan Olimpik, pemanah negara Syaqiera Mashayikh tetap mempunyai rasa teruja yang sama, setelah meraih slot menerusi berpasukan wanita pada kejohanan ArcheryInParis Final Olympic Qualifier di Antalya, Turkiye, bulan lalu.

Trio wanita negara yang tidak diletakkan sasaran di Turkiye, turut dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mmohamad Fazil, mmelakar kejutan apabila bukan sekadar menempah satu tiket ke Sukan Olimpik 2024, malah mara ke final recurve berpasukan wanita.

Malah, Paris menjadi temasya pertama selepas 16 tahun yang menyaksikan negara tidak mempunyai wakil pemanah lelaki.

“Untuk layak ke Paris kali ini tidak mudah. Saya bersama pasukan berusaha sehabis baik dan saya amat berbangga dengan pasukan kerana kami bersama-sama berusaha.

“Namun jika ditanya secara peribadi, saya sebenarnya tidak terlalu berharap untuk ke Paris… Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya dan pasukan sehingga kami layak,” katanya.

Pemanah berusia 23 tahun itu mengharapkan pengalamannya di Tokyo tiga tahun lalu, dapat membantunya menghilangkan rasa gementar apabila beraksi di Paris nanti.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama pasukan recurve wanita Malaysia layak beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Kejayaan dalam acara berpasukan itu membolehkan, Syaqiera yang kini di ranking 121 dunia, turut akan turut layak secara automatik beraksi dalam acara individu di Paris nanti.

Trio berkenaan mengesahkan tiket ke Paris selepas mara ke separuh akhir dan membawa pulang pingat perak.

Pada aksi final mereka tewas kepada pemanah dari China iaitu Yang Xiaolei, Li Jiaman dan An Qixuan yang menundukkan mereka 5-4.