CADANGAN mengembalikan skuad pembangunan bola sepak, Belia dan Piala Presiden kepada persatuan bola sepak negeri (FA), bagi mengelak masalah tunggakan gaji atau elaun, mungkin dipertimbangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya maklum mengenai masalah tunggakan gaji membabitkan skuad muda bagi beberapa pasukan hingga menjejaskan perjalanan saingan di peringkat bawah.

Sambil mengakui situasi itu tidak seharusnya berlaku, badan induk bola sepak negara itu sedia mengkaji dan melihat kembali beberapa cadangan yang dikemukakan demi menambah baik saingan dan pasukan membabitkan pemain belia.

Datuk Wira Yusoff mahu setiap negeri beri kerjasama dalam kelangsungan bola sepak di Malaysia.

“Kita tidak boleh membuat keputusan terburu-buru kerana perlu melihat dan mengkaji sekiranya pasukan Belia dan Piala Presiden diletakkan kembali di bawah jagaan persatuan bola sepak.

“Perkara penting adalah memastikan saingan di peringkat belia kompetitif dan negara tidak ketandusan bakat muda untuk masa akan datang.

“Saya juga meminta Pengerusi Pertandingan FAM yang dipengerusi Mohd Firdaus Mohamed untuk mengadakan perbincangan, seterusnya mengemukakan mekanisma terbaik bagi menyelesaikan masalah,” katanya ketika dihubungi.

Kelab-kelab bersaing dalam Liga Super wajib menyediakan pasukan belia dan Piala Presiden.

Cadangan FAM mewajibkan setiap kelab yang bersaing dalam Liga Super menghantar pasukan belia dan Piala Presiden musim ini, sememangnya dibimbangi mencipta lebih banyak isu tunggakan gaji.

Malah, sebelum ini, media melaporkan kemelut pembayaran gaji babitkan segelintir pasukan di saingan Liga Super kini sudah berjangkit kepada pasukan pembangunan yang bertanding dalam pasukan Belia dan Piala Presiden.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid berharap MFL menilai semula syarat perlesenan kelab.

Situasi itu diakui Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden FAM selepas pihaknya menerima beberapa aduan dan pihaknya memandang serius perkara itu.

Lebih mendukacitakan, Firdaus yang juga Pengerusi Pertandingan FAM mengakui ada beberapa kelab menyerahkan tanggungjawab mengendalikan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia kepada pihak kedua untuk menjimatkan kos operasi.

Tindakan itu menjadi punca isu tunggakan gaji berlaku apabila pihak kedua ‘lari’ meninggalkan kelab yang akhirnya terpaksa ditanggung pemilik asal.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid juga mencadangkan supaya  badan pengelola liga domestik menilai semula syarat pelesenan yang mewajibkan satu kelab menyediakan empat pasukan dalam satu musim yang agak panjang.

Bobie berkata, cabaran besar adalah berkaitan kos operasi yang meningkat naik ketika sumber pendapatan kelab amat terhad, malah boleh dikatakan langsung tidak mencapai keuntungan.