SEMUA faham bahawa sukan permotoran memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan penajaan adalah salah satu daripada cara bagaimana setiap pasukan terus mampu bersaing begitu juga buat sukan permotoran tempatan, Petronas Cub Prix.

Pelbagai syarikat masuk sebagai penaja namun setiap pasukan perlu memastikan setiap tajaan yang diperolehi adalah dari sumber yang sah dan tidak melibatkan syarikat-syarikat yang mempunyai rekod yang kurang memuaskan.

Syarikat berasaskan rokok, alkohol, judi dan yang disenarai hitamkan oleh Bank Negara Malaysia tidak dibenarkan menjadi penaja sebarang aktiviti berbentuk sukan tanpa mengira magnitud acara sukan itu.

Jenama Winbox jelas kelihatan di baju pelumba

Namun, lain jadinya buat sebuah pasukan yang bertanding di kategori Wira KBS, Malaysian Cub Prix apabila secara terang memaparkan logo syarikat Winbox yang dikenali ramai sebagai penyedia permainan dalam talian yang mempunyai unsur judi.

Tambah mengelirukan, pasukan dengan dua pelumba ini secara terang mendaftarkan nama pasukan sebagai Winbox KM+ Axla dan bertanding di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Malahan pelumbanya, Mohd Iman Fahmi Senin berjaya meraih podium pada perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang Petronas (Selatan) ketika perlumbaan pusingan kelima yang memasuki separuh musim itu.

Tidak adakah pihak dari KBS sendiri yang melakukan ‘due diligent‘ terhadap siapa yang bakal menjadi penaja dan perkara ini dibimbangi akan menggalakkan orang ramai untuk bertaruh di atas talian dan mungkin akan mengalami kerugian ribuan ringgit.

Menerusi kajian yang dijalankan, Winbox adalah satu platform yang menyediakan destinasi selamat, menggembirakan dan memberikan ganjaran dalam permainan dalam talian yang mempunyai lebih 1,000 permainan dan diletakkan dalam kategori kasino dan perjudian.

Diharap perkara seperti ini tidak terjadi sekali lagi dan pihak pengurusan lebih cakna tentang penaja yang mahu memberikan penajaan kerana bimbang ianya akan memberikan impak negatif kepada orang ramai.