PRESIDEN baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mahu berjumpa secara bersemuka dengan para pemain Kuala Lumpur City FC bagi memastikan mereka kekal bersama-sama kelab bagi mengharungi baki musim 2024-25.
Syed Yazid yang ditemui media selepas pengumuman keputusan di Kongres ke-35 KLFA di Kuala Lumpur menegaskan isu penyelesaian tunggakan gaji kelab itu bakal menjadi tugas utamanya sebagai presiden.
Beliau juga turut menyatakan sudah mempunyai pelan bagi mengatasi masalah ini namun dia perlu melihat terlebih dahulu kedudukan kewangan kelab sebelum membuat sebarang keputusan dan akan membawa isu ini ke mesyuarat exco.
“Kebanyakan pemain sudah mengenali saya sejak 2017 dan selepas ini saya akan pujuk mereka dan akan berjumpa mereka dalam kadar segera untuk memastikan pemain kekal bersama KL City.
“Saya mahu mereka bersabar kerana kita dalam proses menyelesaikan isu tunggakan gaji dan saya mula bekerja hari ini terutama isu kewangan dan ianya akan menjadi tugas utama saya sebagai presiden.
“Namun begitu, saya perlu tengok dulu segala tunggakan gaji sebab ikutkan saya tidak tahu lagi berapa jumlah tunggakan gaji dan sebagainya, jadi saya perlu tengok dahulu dokumen yang ada,” katanya.
Syed Yazid turut menjelaskan dia sudah mempunyai pelan untuk memastikan isu kewangan tidak berulang dengan sudah menerima beberapa tawaran dari pelbagai pihak yang menyatakan minat untuk menaja Kuala Lumpur City FC.
“Sebenarnya sebelum saya dilantik menjadi presiden, saya sudah menyusun pelan apa yang akan dilakukan dan setakat dua minggu ini, saya ada terima tawaran dari agensi kerajaan dan swasta untuk menaja KL City sekiranya saya menang jawatan presiden dan ini adalah perkembangan yang baik,” jelasnya.
Kuala Lumpur City FC sebelum ini terpalit dengan isu pemalsuan dokumen melibatkan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hingga ditolak enam mata dalam Liga Super oleh First Instance Body (FIB).