PENJAGA gol kebangsaan, Syihan Hazmi hanya mahu fokus kepada aksi kedua Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Chinese Taipei dan tidak mahu memikirkan tentang kritikan yang dilemparkan kepadanya oleh penyokong Harimau Malaya.

Syihan juga mahu memastikan gawangnya kebal dan tidak dibolosi namun tidak mahu mengambil mudah pasukan lawan meskipun mereka berada di ranking yang lebih rendah dari Malaysia.

“Setakat ini semua persiapan berjalan lancar dan kita tidak boleh mengambil mudah dengan mana-mana pasukan dan kita akan fokus lebih dari 100 peratus dan kepentingan kita adalah untuk kutip tiga mata penuh.

“Pada setiap latihan, jurulatih penjaga gol memang bagi lebih daripada sebelum ini kerana dia tidak mahu kami ambil mudah dengan Chinese Taipei dan sebagai penjaga gol, sememangnya saya tidak mahu dibolosi dan akan berikan yang terbaik untuk aksi selepas ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad.

Penjaga gol utama JDT itu juga sedar akan kritikan yang diterima namun dia hanya fokus kepada dirinya sahaja dan cuba perbaiki segala kelemahan yang ada dengan memberikan fokus kepada permainan.

“Sebagai pemain bola sepak, kami tidak boleh lari dari kritikan penyokong dan hanya lakukan tugas serta perbaiki apa yang kurang dan bagi lebih lagi dalam perlawanan seterusnya.

“Kami tidak boleh memandang rendah lawan meskipun Chinese Taipei mempunyai ranking lebih rendah yang paling penting kita perlu fokus dalam perlawanan,” jelasnya.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Taipei pada Ahad untuk menghadapi perlawanan kedua Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Chinese Taipei pada Selasa dan kemenangan akan memastikan laluan yang lebih cerah ke pusingan kelayakan ketiga dan peringkat kumpulan Piala Asia 2027.