PENJAGA gol skuad Harimau Malaya, Syihan Hazmi mengakui Malaysia sukar mendapat keputusan positif apabila menentang pasukan dari Timur Tengah sebelum ini namun dia percaya rezeki akan berpihak kepada skuad kebangsaan sekiranya pemain fokus dan bermain mengikut arahan jurulatih.
Pemain Johor Darul Ta’zim itu juga hanya mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya fokus kepada diri sendiri dan dalam masa yang sama tidak terlalu menghormati lawan ketika menentang Oman dalam aksi ketiga Kumpulan D, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Syihan yang kini menjadi penjaga gol nombor satu negara juga tidak melihat minit permainan yang diperolehi ketika beraksi dengan kelab sebagai jaminan untuk dia kekal menjaga gawang ketika aksi di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada Khamis.
“Bagi saya kita jangan terlalu anggap pihak lawan terlalu kuat atau lemah dan kita perlu yakin dengan Allah, dengan rezeki dan semuanya akan menjadi milik kita tetapi kita juga tidak boleh letak harapan terlalu tinggi kerana lawan adalah pasukan di bawah pengendali baharu dengan taktikal baharu.
“Kita hanya perlu usaha, semangat dan jangan hilang fokus. Kita hanya perlu menepati sasaran yang telah ditetapkan dan jangan berfikir lebih dan main seperti biasa serta jangan terlalu yakin sebab kita bermain di tempat lawan dan mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.
Syihan juga menyatakan dia hanya mengikut arahan daripada jurulatih sama ada dia diturunkan atau tidak dan dia percaya dengan semua pemain pertahanan yang ada meskipun kehilangan khidmat Matt Davies dan Junior Eldstal.
“Semuanya bergantung pada jurulatih. Dia akan tentukan siapa akan bermain dan walaupun saya ada minit permainan tetapi ianya bukan jaminan beraksi kerana siapa pun yang kita lawan kita kenal pasti taktikal dan kekuatan setiap pasukan.
“Saya juga percaya dengan semua pemain pertahanan yang diturunkan. Saya yakin dengan mereka begitu juga mereka yakin dengan saya dan kami semua berkomunikasi dengan baik tetapi masih perlu berhati-hati dan fokus kerana bermain di tempat lawan,” jelasnya.
Aksi mantapnya ketika mengekang asakan Republik Korea di Piala Asia 2023 mendapat pujian para penyokong dan kini Syihan bersedia untuk sekali lagi menggalas tugas sebagai benteng terakhir Harimau Malaya.