AHMAD Syukran Aizat Md Yusoff menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya Rexxo Racing Team di Litar Jasin pada pusingan ketiga, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi kategori CP125.
Ahmad Syukran menyambar kedudukan pertama dengan catatan masa 13’16:448s.
“Ini adalah tempat lahir ‘boss’ saya maka saya telah berusaha lebih untuk mencapai pencapaian ini. Jentera saya untuk pusingan ini memang pada tahap optimum dan saya amat berterima kasih kepada krew dan pasukan,” katanya selepas perlumbaan.
Tempat kedua adalah milik Md Irfan Haykal Amidi dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 13’17:079s. Md Khairi Asyraf Mahmood dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 13’18:386s.
Sementara itu, Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing sekali lagi mencipta kemenangan di Litar Jasin bagi kategori Wira KBS.
Emil meneruskan perlumbaannya ke garisan penamat dan mencatatkan masa terpantas bagi sesi 12-lap dengan catatan masa 10’42:453s.
Tempat kedua dan ketiga di ambil oleh pelumba sepasukan iaitu Amirun Haziq Johan dan Md Al Syakir Zufayri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, masing-masing dengan catatan masa 10’43:876s dan 10’50:909s.