PEMAIN muda Selangor FC, Aliff Haiqal berasa bersyukur kerana dapat membantu pasukannya mendapatkan tiga mata dalam aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC semalam.

Pemain yang berusia 24 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada 10 minit terakhir permainan dan menjaringkan gol kemenangan hasil half volley ke penjuru kiri bawah pintu gol Kedah pada minit ke-85.

“Syukur Alhamdulillah dengan jaringan yang dihasilkan. Saya nak kreditkan juga kepada rakan sepasukan saya yang bekerja keras dari minit pertama sehingga tamat perlawanan. Tiga mata ini juga untuk Faisal Halim.

“Bagi saya, gol itu memang saya tidak sangka. Boleh dikatakan rezeki saya malam ini.

Coach cakap kepada saya supaya saya bermain seperti biasa dan pada masa yang sangat penting bola itu datang kepada saya dan saya cuba untuk melakukan percubaan dan akhirnya rezeki saya untuk dapatkan gol,” katanya selepas ditemui media.

“Sejujurnya saya tidak fikir apa-apa selepas saya menjaringkan gol. Saya hanya melakukan apa yang terlintas di fikiran saya dan saya meraikan gol dengan cara Faisal Halim sebagai tanda kami sepasukan berada di belakangnya.

“Setiap tahun saya mempunyai sasaran peribadi tetapi yang penting ialah jika saya dapat membantu pasukan untuk mendapatkan keputusan yang baik, itu boleh dikira sebagai satu pencapaian yang baik,” ujarnya lagi.

Aliff Haiqal melakukan debut bersama pasukan Selangor pada musim 2021 dan kini dia telah menjaringkan tiga gol liga dalam kariernya bersama pasukan Merah Kuning.