PEMAIN skuad kebangsaan bawah 23 (b-23) tahun, T.Saravanan menaruh harapan agar dia diberi kepercayaan oleh pengendali baharu, Juan Torres Garrido untuk berada dalam skuad utama b-23 menjelang Kempen Piala Asia b-23, pada April 2024.

Menurut Saravanan yang pernah meledak dua gol dalam aksi kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 menentang Filipina, dia bersedia untuk menggalas tanggungjawab sepenuhnya jika ketua jurulatih memilihnya selepas tamat menjalani kem pusat latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Latihan skuad b-23 telah bermula dari 13 November hingga 21 November 2023 sekali gus memperlihatkan percaturan yang bakal dibawakan oleh pengganti E.Elavarasan, iaitu Juan Torres sebagai ketua jurulatih skuad B-23 yang baharu.

“Ketika saya bersama coach Juan sebelum ini, beliau hanya sebagai pembantu ketua jurulatih dan sekarang dia seorang pengendali jadi mungkin ada perubahan dari segi taktikal yang ingin dibuat.

“Tetapi jika dia teruskan dengan segala percaturan yang sudah dibuat sebelum ini, itu bagus. Namun jika beliau perlu melakukan sebarang perubahan, kami sebagai pemain hanya ikut rentak beliau sahaja.

“Walau apapun, jika sesuatu perkara itu akan diubah, pemain semua perlu memproses dan memahami strategi baharu secepat yang mungkin bagi memperhalusi lagi corak permainan kelak,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun tetap dengan pendiriannya supaya akan melakukan yang terbaik untuk melayakkan diri ke dalam skuad utama pilihan Juan Torres.