KEJUARAAN Asian Road Racing Championship (ARRC) 2024 sudah menjadi satu sukan yang berjaya menarik perhatian khalayak umum, tambahan lagi dengan kemunculan pasukan baharu, JDT Racing Team ke dalam industri sukan permotoran Malaysia.

Kehadiran pasukan JDT pastinya merancakkan lagi arena permotoran, dan tidak lupa juga buat pasukan TKKR Racing Team yang sudah sekian lama mewarnai kejuaraan ARRC ini.

Namun, terdapat beberapa pihak daripada kalangan netizen atau peminat sendiri yang masih lagi gemar hidup berkelompok dan saling bertengkar antara satu sama lain (di media sosial) terutama melibatkan penyokong-penyokong sukan bola sepak dan penyokong permotoran.

Perkara ini juga telah mendapat perhatian daripada Pengarah Promosi ARRC, Ron Hogg yang mengakui bahawa terdapat perbezaan antara penyokong bola sepak dan juga penyokong permotoran di Malaysia.

“Memang, penyokong JDT dan penyokong pasukan lain memang tidak bersatu. Tetapi, seperti yang dikatakan oleh pelumba-pelumba kita, mereka berlawan di trek, namun berkawan di luar trek.

“Kehadiran JDT Racing juga sememangnya akan memberi satu aura positif lagi kepada arena sukan permotoran, dan kami gembira dengan peningkatan peminat dalam sukan ini.

“Namun, mungkin adanya penyokong-penyokong baharu ini yang tidak memahami keadaan perlumbaan, seperti situasi ketika perlumbaan kedua ARRC lalu dibatalkan. Bukan kita yang hentikan perlumbaan tersebut, tetapi itu keputusan daripada pihak kerajaan China sendiri.

“Jadi, ini adalah perkara dan cabaran biasa yang kita akan sentiasa bersedia untuk hadapi,”kata beliau ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aildilfitri Motorsports Association of Malaysia (MAM) pada Khamis.

Perlumbaan pusingan kedua ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China yang sepatutnya berlangsung pada 21 April lalu telah dibatalkan akibat ancaman ribut taufan yang melanda kawasan tersebut.