KELAB Selangor FC mendapat sokongan penuh dari banyak pihak apabila Tabung Solidariti yang dilancarkan minggu lalu berjaya mengumpul wang berjumlah lebih RM76 ribu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab, Selangor FC mengumumkan kutipan yang diterima adalah sebanyak RM76,490.06 yang diserahkan oleh Menteri Besar Selangor di Shah Alam.

Inisiatif Tabung Solidariti itu diwujudkan oleh penyokong sebagai tanda solidariti kepada Gergasi Merah selepas mereka didenda RM100,000 oleh Malaysian Football League (MFL) ekoran penarikan diri dari perlawanan Piala Sumbangsih pada awal Mei.

“Majlis Penyerahan Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang berlangsung di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan SSAAS. Kutipan yang berjaya dikumpulkan berjumlah RM76,490.06 dan telah diserahkan oleh Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor.

“Majlis turut dihadiri oleh YB Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan serta Tuan Mohamad Nizam Marjugi, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Jutaan terima kasih kepada semua yang menyumbang! Sesungguhnya anda semua adalah nadi kekuatan kami,” tulis kenyataan itu.

Sokongan tidak berbelah bahagi penyokong Selangor ini bukan sahaja dapat dilihat dari inisiatif ini tetapi kehadiran ‘full house’ dalam semua perlawanan di tempat sendiri setakat ini.