KUTIPAN tabung solidariti yang dilancarkan bagi membantu meringankan beban pasukan Selangor FC kini telah mencecah RM 66,252.02 dan ia bakal diserahkan kepada pasukan itu esok.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan menerusi Facebook miliknya mengenai jumlah sumbangan yang diterima untuk setakat jam 11 pagi tadi adalah sebanyak RM 66,252.02.

“Untuk makluman, jumlah sumbangan yang telah diterima untuk Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula dari 26 Jun hingga setakat jam 11.00 pagi ini adalah sebanyak RM66,252.02.

“Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Tabung solidariti itu yang dilancarkan oleh kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bermula 26 Jun lalu dan kutipan menerusi tabung berkenaan akan ditamatkan pada jam 11.59 malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menyerahkan kutipan tabung itu esok di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor sekali gus meringankan beban pasukan yang baru-baru ini dikenakan denda oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sebelum ini, pasukan Merah Kuning telah dikenakan denda oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.

Setelah dikritik hebat oleh peminat bola sepak Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah menggunakan budi bicara mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan yang diambil pada 24 Jun 2024 ke atas Selangor.

Pertimbangan semula ini dibuat sebagai tanda penghormatan kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.