PENOLONG ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid meluahkan rasa tidak gembira apabila aksi menyerang yang diharapkan daripada pemainnya sering digagalkan oleh ‘tactical foul’ ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Penang FC tewas 0-2 kepada skuad Harimau Selatan hasil jaringan Corbin Ong dan Fernando Forestieri.

“Kita kalah dan hilang mata di tempat sendiri namun apa yang positif adalah kesungguhan pemain dan sikap tidak mengalah apabila bertemu pasukan yang berkualiti seperti JDT dalam Liga Malaysia.

 

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadilan tetapi mahu membalas semula anggapan ramai yang mengatakan apabila sesuatu pasukan memarkir bas ketika bertemu JDT tidak memajukan bola sepak Malaysia tetapi apabila Penang cuba bermain bola dan melepasi bahagian tengah padang ke bahagian serangan tetapi kita diperlakukan dengan ‘tactical foul’.

“Kasihan kepada penyokong yang hadir kerana mereka mahu melihat serangan keatas JDT dan bagaimana mereka menangani asakan Penang. Tetapi benda itu berlaku atas sebab yang tak sepatutnya berlaku.

“Mungkin benda ini boleh buka mata semua pihak supaya lebih realistik sebenarnya mahu memarkir bas tidak ada masalah dan bermain terbuka juga boleh dan harap ianya boleh membuka mata kepada ramai”, kata Manzoor pada sidang media selepas perlawanan.

Manzoor juga memuji barisan pemainnya yang bermain baik tetapi ralat apabila beberapa peluang dinafikan situasi yang tidak sepatutnya dilakukan pihak lawan dan dia masih tidak berpuas hati selepas berakhir pusingan kedua.

“Pemain dah lakukan yang terbaik dan ianya benda yang baik tetapi apabila serangan dihentikan atas sebab yang tidak sepatutnya. Kami cuba nak serang tetapi dihentikan dan membenarkan lawan dapat ‘organize’ semula.

“Saya tidak ada istilah puas hati. Sejak mula liga pasukan perlukan peningkatan dalam setiap perlawanan. Saya puji bagaimana pemain berusaha tingkatkan prestasi. Itu adalah satu benda yang baik untuk pasukan dan saya tidak akan berpuas hati.

“Untuk perlawanan liga saya cakap pada pemain jika kita tidak dapat mata kita jangan bagi satu jaringan yang besar kerana liga melibatkan 14 pasukan dan perbezaan gol akan membantu pada akhir musim.

“Kekalahan 2-0 adalah jumlah yang adil tetapi kini menjadi negatif 4 dalam perbezaan jaringan dan kita perlu dapatkan balik jaringan dalam perlawanan selepas ini.

“Dengan tiga perlawanan di tempat lawan, pemain perlu diberi pujian yang tinggi. Perlawanan kali ini bermain di padang yang basah dan tekanan sememangnya tinggi apabila bertemu JDT namun bagi saya ini perkara yang baik untuk para pemain.

Keputusan 2-0 ini menyaksikan Penang mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super dan kini menduduki tangga ke-10 dengan 14 mata mengatasi Perak, Kelantan United, Kuching City dan Kelantan FC.