PEMAIN import Sabah FC, Park Tae-su melanjutkan kontraknya bersama-sama skuad Badak apabila menandatangani kontrak baharu selama dua tahun yang akan menyaksikan pemain Korea Selatan itu kekal di Likas hingga penghujung 2024.
Sejak menyertai Sabah FC pada 2019, pemain pertahanan yang dikenali sebagai Karim itu menjadi antara pembelian berbaloi skuad Sabah dan Tae-su menjadi pemain kesayangan para penyokong.
Kehadirannya di benteng sangat berkesan dengan ketangkasannya dan dia juga bijak mencuri peluang untuk menjaringkan gol dan kini sudah menjaringkan 10 gol dari 58 penampilan bersama Sabah.
Sejak 2019, dia membantu Sabah muncul juara Liga Premier dan layak ke Liga Super sebelum mempamerkan aksi lebih mantap di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menyaksikan Sabah menamatkan musim 2022 ini di tempat ketiga liga.
Pemain yang berusia 33 tahun itu juga mahu menghabiskan kariernya di Sabah dengan menyifatkan penyokong Sabah adalah terbaik terutama pada musim ini apabila lebih ramai turun membanjiri stadium.
Tae-su yang fasih berbahasa Melayu itu pernah menarik tumpuan dunia bola sepak apabila gol sepakan percumanya ketika menentang PJ City FC menjadi viral yang turut mendapat perhatian laman sosial Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Lanjutan kontrak ini pastinya akan memberikan semangat tambahan buat Sabah FC yang kini sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi kempen Piala Malaysia yang bakal bermula pada 25 Oktober 2022.
Sabah FC bakal bertemu UiTM FC di Shah Alam terlebih dahulu sebelum kembali ke Likas untuk aksi timbal balik dengan pemenang peringkat 16 terbaik ini akan bertemu sama ada Penang FC atau Kuching City FC di peringkat suku akhir.