HARI yang sedikit ‘sendu’ dalam acara taekwondo dan lawan pedang apabila masing-masing hanya mampu mendapatkan pingat gangsa pada pertandingan yang diadakan di Chroy Changvar, dekat Phnom Penh pada Sabtu.
Kilauan gangsa hadir pada acara taekwondo-kyorugi selepas atlet negara, Sebastian Tan Chung Wan dan Muhammad Luqman Haqim Mohd Suhaimi gagal melepasi cabaran ke separuh akhir.
Namun, pencapaian Sebastian kali ini mengulangi edisi sama tahun lepas di Hanoi 2022, Vietnam. Sementara Luqman yang menang pada pusingan dilihat hilang fokus dan membenarkan pesaing Filipina, Samuel Thomas Harper menyamakan mata, sebelum mengakhiri kemenangan 2-1.
“Saya sudah selesa sangat mendahului, saya ingat sudah boleh menang pertarungan itu. Tetapi dia (Samuel) bangkit dalam pusingan kedua dan ketiga.
“Perasaan memang terkilan sebab tak dapat ke final dan saya datang ke sini memang nak emas. Tetapi bukan rezeki dan saya juga sudah buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas pertarungan.
Terdahulu, dua gangsa turut diperoleh daripada acara lawan pedang kategori individu lelaki foil, Cheng Xiang Han dan Hans Yoong Wei Shen.
Xing Han akur kalah 15-11 kepada atlet Thailand, Ratchanavi Deejing manakala Wei Shen bersaing ketat dengan Nathaniel Perez daripada Filipina sebelum tunduk 15-13.