SERIUS melakukan persiapan ke temasya Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China pada 23 hingga 8 Oktober, Taekwondo Malaysia (TM) membawa masuk bekas juara dunia dari Korea Selatan.

Setiausaha Agung TM, R.Dhanaraj berkata, dua jurulatih khas dari Korea Selatan dipanggil untuk membantu atlet negara bagi meningkatkan teknik dalam kategori freestyle poomsae.

Katanya, persatuan terpaksa mendapatkan ‘kepakaran’ Korea memandangkan Sukan Asia Hangzhou atlet yang bersaing dalam kategori poomsae perlu beraksi dalam dua jenis kategori iaitu freestyle dan tradisional.

“Kategori poomsae, atlet perlu bertanding dalam dua acara iaitu freestyle dan tradisional untuk mendapatkan satu pingat. Ini bermaksud seorang atlet akan beraksi kedua-dua kategori berkenaan.

“Disebabkan, freestyle lebih kepada akrobatik, jadi kita akan jemput jurulatih khas Korea yang memang pakar dalam acara ini. Lee Woo Jin dan Kim Jin Man dari Korea ini adalah bekas juara dunia dan mereka akan bantu atlet negara selama sebulan.

“Dua jurulatih tersebut akan tiba di Malaysia pada 24 Jun ini dan mereka akan melatih atlet negara. Selepas itu, mereka akan sertai kejohanan luar pada 5 hingga 10 Ogos depan sebagai persiapan ke China nanti,” katanya, ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan atlet ke Sukan Asia bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

R.Dhanaraj

Pada mesyuarat itu, TM menjelaskan MOM bersetuju menghantar tiga atlet ke temasya empat tahun sekali itu.

“Selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan, dua atlet dari displin poomsea iaitu Nur Humairah Abdul Karim dan Jason Loo layak untuk ke Sukan Asia kerana mempunyai prestasi dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MOM selepas meraih pingat perak dan gangsa dalam kejohanan dunia tahun ini.

“Kita juga sedang berusaha untuk memastikan seorang lagi atlet taekwondo negara, Syafiq Zuber yang meraih emas acara kyorugi pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini tersenarai ke Sukan Asia nanti. Ketika ini, pihak MOM mempertikai kedudukan Syafiq ke Sukan Asia. Pihak persatuan akan buat rayuan supaya Syafiq diserapkan ke Sukan Asia atas tiket kategori B1,” ujarnya.